Terkini

TERKINI!!

TIIAF 2014 akan kembali!

TIIAF 2014 akan menampilkan pertandingan kaligrafi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi menarik minat ahli-ahli kaligrafi yang berpengalaman dari dalam dan luar negara menyertainya.

Festival ini juga melibatkan penganjuran bengkel yang akan diketuai oleh ahli kaligrafi terkemuka dunia.

Pelbagai aktiviti bakal dipertontonkan bagi mempamerkan pelbagai jenis produk yang berasaskan kaligrafi dengan lebih jelas lagi.

Mahu Generasi Y Kuasai Kaligrafi

KUALA TERENGGANU, 5 Dis. 2014 - Kerajaan Negeri Terengganu akan meluaskan program untuk memperkasakan potensi dan kemahiran menguasai seni kaligrafi dalam kalangan generasi Y bermula tahu depan.

Majlis Perasmian Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2014 oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong berkata pertandingan khat berskala kecil dan sederhana perlu dimulakan secepat mungkin untuk mencungkil bakat mereka sejak dari kecil.

"Saya cadangkan agar Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bekerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin, Institut Al-Quran Terengganu, Taman Tamadun Islam dan Persatuan Khat Negeri Terengganu untuk menganjurkan pertandingan sebegini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2014 disini hari ini.

Beliau berkata kaligrafi adalah cabang kesenian Islam yang perlu dipelihara agar kekal menjadi warisan untuk generasi akan datang.

Menurutnya kaligrafi mempunyai seninya yang tersendiri sama seperti membaca Al-Quran dengan Tajwib yang betul.

Juara kaligrafi TIIAF 2014 untuk kategori antarabangsa dimenangi Ali Hassan Ibrahim dari Iraq yang menerima hadiah bernilai US$5,000 (RM16,714), tempat kedua milik Ehab Ibrahim Thabet dari Palestin yang menerima US$3,000 (RM10,031) dan tempat ketiga dimenangi oleh Isep Misbah dari Indonesia yang menerima US$1,000 (RM3,343).

Bagi pertandingan peringkat Kebangsaan, terdapat dua kategori iaitu Karya Siap yang menggunakan tiga medium iaitu logam, kanvas dan kayu serta kategori Karya Spontan yang terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka yang akan diadakan Ahad ini dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM62,900.

Pengarah Festival TIIAF 2014 Wan Adnan Wan Derahman berkata festival yang berlansung di Taman Tamadun Islam (TTI) hari ini membuka tirainya dengan pelbagai program menarik berkaitan seni kaligrafi melibatkan ramai penggiat seni khat dari 20 buah negara.

Festival anjuran TTI Management Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri berlansung selama tiga hari sehingga Ahad ini dengan sasaran 10,000 pengunjung.

Dipetik dari Sinar Harian.